TEMERLOH - Pelbagai lokasi pelancongan baharu di Pahang telah dikenalpasti dalam meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini.
Antaranya Amani Vanilla Temerloh ( AVT) di Bangau Parit Temerloh yang kini kian popular dalam kalangan pelancong luar dan tempatan.
Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, AVT telah membuktikan kemampuan dengan menjadi pengeluar vanila dunia selain tumpuan mereka yang ingin mengenali tumbuhan tersebut.
"Industri vanila dipelopori AVT berjaya menarik perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi rakyat asing yang hadir ke nurseri sambil menikmati produk hiliran tanaman komersial itu, antaranya produk aiskrim perisa vanila.
"Walaupun kuantiti pengeluaran masih kecil tetapi kemampuannya meletakkan industri vanila sebagai `produk emas` terbaharu untuk diusahakan secara komersial sangat mengagumkan," katanya pada Rabu.
Jelasnya, kerajaan negeri turut membantu dengan mempromosikan lokasi menarik seperti AVT Temerloh dalam pakej pelancongan yang ditawarkan oleh Pahang.
Ujarnya, inovasi dilakukan pengasas AVT, Muhamad Feisal Mohamed Norawi dalam menghasilkan sajian pembuka selera iaitu aiskrim vanila bersama gula kabung juga perlu dipuji.
Sementara itu, Muhammad Feisal memberitahu, setakat ini terdapat 500 penanam vanila seluruh negara yang dihasilkan menerusi 16 siri kursus dianjurkan pihaknya atau bersama pihak lain.
Bagaimanapun katanya, usaha itu masih belum mencukupi untuk memenuhi kehendak pasaran.
"Setakat ini kami hanya mampu mencapai 15,000 pokok berbanding sekurang-kurangnya 500,000 pokok yang diperlukan," jelasnya.